Tuesday, 9 April 2013
Dalam keadaan apakah polis dibenarkan untuk menggeledah?
Dalam keadaan apakah polis dibenarkan untuk menggeledah badan seseorang?
Penggeledahan ke atas badan seseorang oleh polis adalah dibenarkan dalam tiga keadaan berikut :
(1) Geledah Badan Tanpa Ditahan
Polis menggeledah badan anda dalam satu serbuan yang sah di sebuah kelab malam atau karaoke yang mana anda berada di tempat serbuan tersebut. Maka polis boleh menggeledah badan anda atau beg anda tanpa menangkap anda berhubung dengan sesuatu kesalahan, misalnya mencari pil ecstasi yang disembunyikan.
Anda boleh juga ditahan secara sah sehingga selesai penggeledahan tersebut dibuat. Penggeledahan itu mestilah dijalankan oleh atau dihadapan seorang pegawai polis yang berpangkat tidak lebih rendah daripada inspektor.
Walaupun undang-undang tidak menyatakan cara penggeledahan badan dijalankan, akan tetapi polis hendaklah memberi perhatian serius terhadap kesopanan orang yang hendak digeledah. Contoh, penggeledahan badan ke atas wanita di jalankan oleh polis wanita.
Seksyen 19 (2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) : Apabila dikehendaki memeriksa seorang perempuan, pemeriksaan itu hendaklah dibuat oleh seorang perempuan lain, dengan menitikberatkan kesopanan
(2) Geledah Badan dengan Tangkapan
Sebarang penggeledahan terhadap orang ditangkap secara sah sama ada dengan waran atau tanpa waran dan diletakkan di bawah penjagaan polis, maka polis boleh menggeledah badan orang itu.
Dalam Jadual Keempat Bahagian 1 menyatakan berkenaan Prosedur Pemeriksaan Tubuh.
Objektif Pemeriksaan :
Pemeriksaan tubuh boleh dijalankan ke atas seseorang yang ditangkap hanya jika mana-mana objektif berikut dipatuhi :
(a) untuk mendapat suatu keterangan yang menunjukkan pembabitannya dalam suatu kesalahan yang dia telah ditangkap;
(b) untuk merampas kontraban, hasil-hasil jenayah, atau barang-barang lain yang dimiliki secara jenayah atau yang digunakan dalam kesalahan yang dia telah ditangkap, atau
(c) untuk menemui keterangan yang berhubung dengan sebab penangkapan atau untuk mengekalkan keterangan atau untuk menghalang pelupusan keterangan tersebut oleh orang yang ditangkap
Seterusnya, pegawai yang membuat tangkapan tersebut juga boleh mengambil dari orang yang ditangkap apa-apa senjata untuk menyerang yang didapati daripada badannya.
(3) Geledah badan semasa dalam penjagaan yang sah
Seksyen 22 Kanun Prosedur Jenayah : Setiap orang yang ditahan dengan sah di sisi undang-undang, yang disebabkan mabuk, sakit, gangguan mental ataupun infansi tidak berupaya memberi maklumat yang memuaskan mengenai dirinya sendiri, bolehlah diperiksa untuk menentukan nama dan tempat kediamannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment