Isu-Isu Berkaitan Dengan Penangkapan
(1) Tahukah Anda Apakah Hak-Hak Orang Yang Ditangkap
Seksyen 28 Kanun Prosedur Jenayah
Mana-mana orang yang ditangkap tidak boleh ditahan oleh pegawai polis melebihi daripada tempoh dua puluh empat jam melainkan dengan perintah Majisteret di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah
Apabila
seseorang itu ditangkap tanpa waran, dia hendaklah diberitahu tentang alasan penangkapannya dengan seberapa
segera yang mungkin oleh pegawai polis yang membuat tangkapan tersebut.
Setelah
seseorang itu ditangkap, sebelum pihak polis memulakan sebarang penyoalan dan
rakaman, orang yang ditangkap berhak kepada perkara-perkara berikut:
· Berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dan
berunding dengan peguam pilihannya.
· Pegawai hanya boleh boleh membuat pemerhatian rundingan
tersebut dari jarak dimana komunikasi tersebut tidak dapat didengari olehnya.
Apabila
orang yang ditangkap tersebut menyatakan hasrat untuk perkara-perkara di
atas, pegawai polis hendaklah
dengan seberapa segera yang mungkin, membenarkan orang yang ditangkap berbuat
demikian.
Pegawai polis tersebut hendaklah menyediakan kemudahan yang munasabah untuk komunikasi dan semua kemudahan tersebut hendaklah disediakan secara percuma.
(2) Adakah Orang Persendirian Boleh Membuat Tangkapan?
Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah
Mana-mana orang persendirian boleh menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh tangkap (seizable) dan tidak boleh jamin (non-bailable) dengan syarat, dengan segera hendaklah menyerahkan orang yang ditangkap tersebut kepada pegawai polis yang berhampiran atau membawa orang yang ditangkap tersebut ke balai polis yang paling hampir.
(3) Bolehkah anda membuat tangkapan orang-orang yang mana pada pandangan anda orang-orang tersebut melakukan kesalahan-kesalahan pilihan raya iaitu penyamaran, membelanja (treating), pengaruh tidak wajar (undue influence) dan suapan (bribery) iaitu kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 7, 8, 9 dan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954?
Kesalahan-kesalahan di atas adalah dikategorikan sebagai kesalahan ‘boleh tangkap’ tetapi tidak dinyatakan (silent) sama ada dibawah kategori boleh jamin atau tidak boleh jamin.
(4) Bolehkan anda membuat tangkapan orang-orang yang dipercayai merupakan ‘pengundi hantu’?
Asasnya ‘pengundi hantu’ adalah satu tindakan kesalahan dibawah penyamaran iaitu dibawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Sekiranya anda ingin membuat tangkapan, pastikan anda terus menyerahkan orang yang ditangkap tersebut kepada pegawai polis atau balai polis yang berdekatan.
Sekiranya anda tidak menyerahkan orang yang ditangkap tersebut kepada pegawai polis atau balai polis terdekat dengan kadar yang segera, anda bukan setakat tidak mematuhi Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah, malahan anda boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (n) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Anda juga boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 341 Kanun keseksaan iaitu penahanan individu secara salah.
No comments:
Post a Comment